Selamat bercuti kepada semua warga pendidik~

Thursday, 11 August 2011

Muridku dan pencapaian

4 sub NKRA pendidikan yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, dan salah satunya ialah LINUS. Pencapaian murid dalam kemahiran membaca dan menulis amat penting dalam menongkah arus hidup di zaman globalisasi ini. Kemahiran murid untuk menulis, membaca dan mengira (3M) banyak membantu mereka dalam menguruskan kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir murid yang merupakan LINUS tegar, iaitu murid yang setelah tempoh 3 tahun, masih lagi tidak boleh menguasai kemahiran 3M. Faktor yang menyebabkan berlakunya hal yang sedemikian antaranya faktor genetik.

Faktor genetik pula boleh dipengaruhi oleh keadaan genetik keturunan, genetik murid itu sendiri dan persekitaran termasuk pemakanan dan pergaulan. Faktor-faktor ini sering kali menjadi persoalan dan menjadi topik utama dalam perbualan untuk meningkatkan kemahiran 3M murid. Akan tetapi tahukah kita bahawa murid yang lemah ini bukan sahaja dipengaruhi oleh faktor-faktor logikal seperti ini?

Cuba buka minda dan berfikiran lebih mendalam. Apakah Allah sengaja memberikan kelemahan-kelemahan pada manusia agar manusia boleh mempersenda sesama manusia? Tidak sama sekali. Sebenarnya Allah menganugerahkan murid atau individu yang lemah akal ini kepada kita untuk membantu kita mendapat pahala yang setimpal.

Jika kita fikir dengan teliti, banyak mana amalan kita? Bagaimana solat kita? Bagaimana doa kita? Sebab itulah datangnya murid yang lemah seperti ini untuk membantu kita mencari pahala yang lebih banyak dan diredhai. Jika seorang guru membantu murid ini dengan sepenuh hati, pahala mengajar dengan penuh kesabaran adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan ilmu yang dicurahkan.





Begitu juga dengan doa. Diri kita mungkin bukan seorang yang dimakbulkan doa. Dengan membantu murid seperti ini, berkemungkinan terlintas dalam hati murid mendoakan guru yang telah membantu sedaya upayanya. Ingat, insan istimewa seperti ini lebih makbul doanya daripada insan normal apatah lagi mereka hanya kanak yang belum lagi matang.

Semoga kita lebih berusaha untuk melahirkan masyarakat yang gemilang akhlak dan budinya seiring pencapaian mental dan agamanya. Amiinn.~

No comments:

Post a Comment